Tuesday, 6 February 2018

Kaifiyat (Cara) Mengerjakan Sembahyang Sunat Tasbih



Bagi kemudahan para pembaca didetilkan kaifiyat sembahyang sunat Tasbih yang sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu:

1.          Lafaz niat sembahyang sunat Tasbih jika dua rakaat satu salam ialah:

أُصَلِّيْ سُنَّةَ التَّسْبِيْحِ رَكَعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى.

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat Tasbih dua rakaat kerana Allah ta‘ala.”

Atau jika dilakukan empat rakaat:

أُصَلِّيْ سُنَّةَ التَّسْبِيْحِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ لِلَّهِ تَعَالَى.

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang sunat Tasbih empat rakaat kerana Allah ta‘ala.”

2.          Membaca doa Iftitah.

-    (Peringatan: Mengikut kaifiyat sembahyang sunat Tasbih yang kedua, bacaan tasbih yang pertama sebanyak 15 kali bermula selepas takbiratul ihram dan membaca doa iftitah iaitu sebelum membaca surah al-Fatihah.)

3.          Membaca Ta‘awwudz.                 أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ.

4.          Membaca surah al-Fatihah.

5.          Membaca surah al-Hadid atau surah at-Takatsur pada rakaat pertama (boleh juga membaca surah-surah yang lain).

Begitu juga pada rakaat kedua afdhal membaca surah al-Hasyr atau surah al-‘Asr, pada rakaat ketiga surah as-Shaff atau surah al-Kafirun dan pada rakaat keempat surah al-Jumu‘ah atau surah al-Ikhlas.

6.          Setelah selesai membaca al-Fatihah dan surah selepasnya dan sebelum rukuk membaca tasbih sebanyak 15 kali.

سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ.

-   (Peringatan: Mengikut kaifiyat sembahyang sunat Tasbih yang kedua bacaan tasbih itu dibaca lagi selepas surah al-Fatihah dan surah selepasnya sebanyak 10 kali kemudian rukuk. Bacaan tasbih seterusnya dibaca semasa rukuk, i‘tidal, sujud pertama, duduk antara dua sujud dan sujud kedua adalah sama sebanyak 10 kali, tetapi bacaan tasbih semasa duduk istirahah sebelum bangun untuk rakaat kedua tidak dibaca begitu juga semasa tahiyat akhir pada rakaat kedua juga tidak dibaca.)

7.          Rukuk dan membaca tasbih rukuk 3 kali.
سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيْمِ وَبِحَمْدِه.ِ   

8.          Setelah selesai membaca tasbih rukuk terus sambung membaca tasbih 10 kali.

9.          I‘tidal sambil membaca tasmi‘ kemudian tahmid.

         سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ.

10.     Membaca tasbih selepas membaca tahmid i‘tidal 10 kali.

11.     Sujud dan membaca tasbih sujud 3 kali.

سُبْحَانَ رَبِّيَ اْلأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ.

12.     Membaca tasbih selepas tasbih sujud 10 kali.

13.     Duduk antara dua sujud dan membaca doa.

رَبِّ اغْفِرْلِيْ وَارْحَمْنِيْ وَاجْبُرْنِيْ وَارْفَعْنِيْ وَارْزُقْنِيْ وَاهْدِنِيْ وَعَافِنِيْ وَاعْفُ عَنِّيْ.

14.     Membaca tasbih selepas membaca doa duduk di antara dua sujud 10 kali.

15.     Sujud kedua dan membaca tasbih sujud 3 kali.
16.     Membaca tasbih selepas tasbih sujud kedua 10 kali.
-   (Peringatan: Disinilah bacaan tasbih terakhir bagi kaifiyat sembahyang sunat Tasbih yang kedua. Begitulah seterusnya pada rakaat kedua, ketiga dan keempat.)

17.     Bangkit dari sujud yang kedua iaitu duduk istirahah (duduk sebelum berdiri untuk rakaat yang seterusnya) dan membaca tasbih 10 kali.

18.     Ulangilah bacaan tasbih itu pada rakaat kedua, ketiga dan keempat pada tempat yang sama sepertimana bacaan pada rakaat pertama kecuali:

-    Jika sembahyang sunat Tasbih itu dikerjakan pada waktu malam lebih utama dikerjakan setiap dua rakaat sekali salam. Oleh yang demikian hendaklah dibaca tasbih pada rakaat kedua itu sebelum atau selepas membaca tahiyat akhir.

-   Begitu juga jika sembahyang sunat Tasbih itu dikerjakan di waktu siang adalah lebih afdhal dikerjakan empat rakaat sekali salam. Oleh yang demikian hendaklah dibaca tasbih terakhir pada rakaat kedua sebelum atau selepas tahiyat awal dan pada rakaat keempat hendaklah membaca tasbih terakhir sebelum atau selepas tahiyat akhir.

19.     Begitulah kaifiyat membaca tasbih dalam sembahyang sunat Tasbih, kesemua jumlah tasbih yang dibaca dalam empat rakaat adalah sebanyak 300 tasbih iaitu 75 tasbih pada setiap rakaat.

20.     Kemudian sunat membaca doa selepas tahiyat akhir dan sebelum salam.

Doa masyhur sepertimana yang diterangkan oleh Imam Kurdi dan Syarqawi di dalam kitab Fath al-‘Allam selepas tahiyat akhir dan sebelum salam ialah:

اَللَّهُمَّ إِناَّ نَسْأَلُكَ تَوْفِيْقَ أَهْلِ الْهُدَى وَأَعْمَالَ أَهْلِ الْيَقِيْنِ، وَمُنَاصَحَةَ أَهْلِ التَّوْبَةِ، وَعَزْمَ أَهْلِ الصَّبْرِ، وَجِدَّ أَهْلِ الْخَشْيَةِ، وَطَلَبَ أَهْلِ الرَّغْبَةِ، وَتَعَبُّدَ أَهْلِ الْوَرَعِ، وَعُرْفَانَ أَهْلِ الْعِلْمِ، حَتَّى نَخَافَكَ.

اَللَّهُمَّ إِناَّ نَسْأَلُكَ مَخَافَةً تَحْجِزُنَا عَنْ مَعَاصِيْكَ، حَتَّى نَعْمَلَ بِطَاعَتِكَ عَمَلاً نَسْتَحِقُّ بِهِ رِضَاكَ، وَحَتَّى نُنَاصِحَكَ فِي التَّوْبَةِ خَوْفاً مِنْكَ، وَحَتَّى نَخْلِصَ لَكَ النَّصِيْحَةَ حُبّاً لَكَ، وَحَتَّى نَتَوَّكَلَ عَلَيْكَ فِي اْلأُموْرِ كُلِّهَا حُسْنَ ظَنٍّ بِكَ سُبْحَانَ خَالِقِ النُّوْرِ.

Ertinya: “Ya Allah! Kami bermohon dariMu taufiq seperti golongan yang mendapat pertunjuk, ibadat golongan yang yakin, ketulusan golongan yang bertaubat, keazaman golongan yang sabar, kewaspadaan golongan yang takut, pengharapan golongan yang tekun, peribadatan golongan yang wara’, kebijaksanaan golongan yang berilmu sehingga kami menjadi takut kepadamu.”

“Ya Allah! Kami bermohon kepadaMu sifat takut yang akan menjadikan benteng dari berbuat maksiat kepadaMu, (kami bermohon kepadaMu) amalan yang dengannya kami mendapat keredhaanmu sehingga (menjadikan) kami dapat beramal dengan penuh ketaatan, (kami bermohon) rasa takut kepadaMu sehingga (menjadikan) kami memohon nasihat kepadaMu di dalam taubat, (kami bermohon)  rasa cinta  kepadaMu sehingga (menjadikan) kami ikhlas kepadaMu dalam meminta nasihat, (kami bermohon)  bersangka baik kepadaMu Tuhan yang Maha Suci pencipta nur (cahaya) sehingga (menjadikan) kami bertawakkal kepadaMu di dalam setiap urusan.”

Di dalam riwayat yang lain ada juga yang menambah dengan doa ini:

رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُوْرَنَا وَاغْفِرْلَنَا إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ.

Ertinya: Wahai Tuhan kami sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Pengasih dari sekalian yang mengasihi.

Doa ini dilakukan setiap kali sebelum salam, jika melakukan sembahyang sunat Tasbih ini setiap dua rakaat sekali salam hendaklah membaca doa ini dua kali iaitu setiap kali sebelum memberi salam, dan jika dilakukan dengan empat rakaat sekali salam hendaklah membaca doa ini sekali sahaja. Sepertimana perkataan Syabramillisi: “Doa ini dibaca sekali jika melakukan sembahyang sunat Tasbih dengan sekali takbiratul ihram dan dibaca doa ini dua kali jika melakukannya dengan dua kali takbiratul ihram."

Bilangan Rakaat Sembahyang Sunat Tasbih Dan Waktunya

Sembahyang sunat Tasbih dikerjakan pada bila-bila masa sebanyak empat rakaat. Jika dikerjakan pada waktu siang adalah lebih baik dikerjakan empat rakaat itu dengan satu salam. Jika dikerjakan pada waktu malam adalah lebih baik dikerjakan empat rakaat itu dengan dua salam.

Fadhilat Sembahyang Sunat Tasbih

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada mengajarkan kepada bapa saudaranya bahawa kelebihan sembahyang sunat Tasbih itu sangatlah besar sebagaimana hadis Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: “Jika engkau membuat yang sedemikian itu, Allah menghapuskan dosamu, baik yang terdahulu, yang sekarang, yang sudah lama, yang baru, yang tidak disengaja, yang sengaja, yang kecil, yang besar, yang tersembunyi mahupun yang terang-terangan.”
(Hadits riwayat Abu Daud)

Menurut Imam Taj as-Subki dan ulama-ulama yang lain, apabila orang telah mendengar kelebihan sembahyang sunat Tasbih itu, dan ia tinggalkan yakni tidak membuatnya maka ia tergolong daripada orang yang mencuaikan agama.

Bolehkah Sembahyang Sunat Tasbih Diqadha?

Sebagaimana yang dijelaskan terdahulu bahawa sembahyang sunat Tasbih adalah sembahyang sunat mutlak yang tidak berkaitan dengan waktu dan sebab dan sunat melakukan di waktu malam dan siang selain waktu yang diharamkan bersembahyang, ia juga boleh dilakukan pada setiap masa dan dianjurkan supaya selalu mengerjakannya walaupun dalam masa yang berdekatan kerana ia mempunyai fadhilat yang sangat besar.

Dari itu, sembahyang sunat Tasbih tidaklah dapat diqadha disebabkan ianya adalah sembahyang sunat mutlak yang tidak ada waktu tertentu.
21.     Kemudian memberi salam ke kanan dan ke kiri.
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ.

22.     Kemudian selepas mengucapkan salam bolehlah memohon dengan membaca doa-doa lain supaya diperkenankan segala hajat.

Begitulah kaifiyat sembahyang sunat Tasbih dan bacaan tasbih sepertimana yang diterangkan dalam hadis di atas dan ditambah dengan bacaan:
"وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ"

Sebagaimana yang disebut dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj bi Syarh al-Minhaj.

Hukum Sembahyang Sunat Tasbih

Menurut Ibnu Hajar al-Haitami di dalam kitabnya Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyah, sembahyang sunat Tasbih adalah di antara sembahyang sunat mutlak yang tidak berkaitan dengan masa dan sebab tertentu, maka sunat dilakukan pada setiap masa, sama ada di waktu malam ataupun siang dan haram dilakukan di dalam waktu-waktu yang diharamkan bersembahyang.

Sembahyang sunat Tasbih ini dianjurkan melakukannya, sehinggakan jika mampu, afdhal dikerjakan pada tiap-tiap hari. Jika tidak mampu, bolehlah dikerjakan sekali pada setiap Jumaat. Jika tidak mampu juga, bolehlah dikerjakan sebulan sekali. Jika tidak mampu, bolehlah dikerjakan setahun sekali dan jika tidak mampu juga, bolehlah dikerjakan seumur hidup sekali. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya: “Jika engkau mampu mengerjakannya sekali setiap hari maka kerjakanlah, jika engkau tidak mampu membuatnya maka kerjakanlah sekali setiap Jumaat, jika engkau tidak mampu, maka kerjakanlah sekali sebulan, jika engkau tidak mampu maka kerjakanlah sekali setahun, jika engkau tidak mampu juga maka kerjakanlah sekali seumur hidup.”
(Hadis riwayat Abu Daud)

Oleh yang demikian, sunat dilakukan sembahyang sunat Tasbih itu berulang kali walaupun dalam masa yang berdekatan.

Surah-Surah Yang Sunat Dibaca Dalam Sembahyang Sunat Tasbih

Sunat dibaca surah at-Takatsur pada rakaat pertama, surah al-‘Asr pada rakaat yang kedua, surah al-Kafirun pada rakaat yang ketiga dan surah al-Ikhlas pada rakaat yang keempat.

Menurut setengah ulama pula, surah yang lebih utama dibaca ialah surah yang pada permulaan ayatnya disebut perkataan tasbih iaitu surah al-Hadid pada rakaat pertama, surah al-Hasyr pada rakaat kedua, surah as-Shaff pada rakaat ketiga dan surah al-Jumu‘ah pada rakaat keempat. Jika tidak mampu, maka bolehlah membaca surah az-Zalzalah pada rakaat pertama, surah al-‘Adiyaat pada rakaat kedua, surah at-Takatsur pada rakaat ketiga dan surah al-Ikhlas pada rakaat keempat.

Boleh juga membaca surah-surah lain jika tidak hafal semua surah yang di atas, akan tetapi surah-surah di atas itu adalah yang lebih afdhal atau lebih utama dan mendapat pahala mengikut keutamaan surah-surah tersebut.

Hukum Bacaan Tasbih Dalam Sembahyang Sunat Tasbih Dan Dalam Sembahyang-Sembahyang Sunat Selainnya

Bacaan tasbih dalam sembahyang sunat Tasbih itu adalah dikategorikan sebagai sunat hai’ah seperti bacaan takbir dalam sembahyang dua Hari Raya. Jika tertinggal bacaan tasbih tersebut itu dalam sembahyang, tidaklah disunatkan menggantikannya dengan sujud sahwi.

Begitu juga jika seseorang berniat untuk mengerjakan sembahyang sunat Tasbih, akan tetapi dia tidak membaca tasbih tersebut semasa sembahyang, sembahyangnya adalah dikira sah dengan syarat tempoh masa i‘tidal, dan duduk di antara dua sujud dan duduk istirahah tidak dipanjangkan, kerana perkara sedemikian boleh membatalkan sembahyang. Dengan demikian menjadilah ia sembahyang sunat mutlak sahaja bukanlah sembahyang sunat Tasbih.

Jika sekiranya seseorang berniat untuk sembahyang sunat biasa sahaja, kemudian mendatangkan bacaan tasbih-tasbih tersebut dalam sembahyangnya itu, maka dalam perkara ini diharuskan baginya membaca tasbih berkenaan selagi dia tidak memanjangkan rukun yang pendek seperti i’tidal kerana niatnya itu niat sembahyang sunat biasa sahaja bukan sembahyang sunat Tasbih. Dengan demikian ianya tetap dianggap sebagai sembahyang sunat mutlak biasa bukannya sembahyang sunat Tasbih.

Selain itu, disunatkan mengisrarkan (tidak menyaringkan) bacaan tasbih itu, sama ada ianya dilakukan di waktu malam ataupun di waktu siang. Adapun bacaan-bacaan lain dalam sembahyang sunat Tasbih itu disunatkan juga membaca dengan israr jika dilakukan di waktu siang akan tetapi disunatkan membaca dengan bacaan pertengahan antara jahr (dinyaringkan) dan israr jika dikerjakan di waktu malam sepertimana sembahyang sunat-sunat yang lain.

Akan tetapi jika bernazar untuk menyaringkan bacaan tasbih itu dalam sembahyang sunat Tasbih tersebut, maka menjadilah bacaan jahr itu wajib disebabkan nazar itu, sepertimana yang disebutkan dalam bab nazar.

Jika sekiranya terlupa membaca tasbih dalam rukun tertentu sehingga berpindah pada rukun selepasnya, tidak harus kembali kepada rukun tersebut untuk membacanya. Sekiranya dia tahu akan perkara itu dan dengan sengaja mengulang rukun itu, maka batallah sembahyangnya.

Oleh kerana tidak dapat mengulang rukun tasbih tersebut untuk membaca tasbih, maka gantilah bacaan tasbih itu pada rukun seterusnya selain semasa i‘tidal, duduk antara dua sujud dan duduk istirahah. Ini kerana memanjangkan tiga rukun ini boleh membatalkan sembahyang walaupun dalam sembahyang sunat Tasbih, sebab bacaan tasbih dalam tiga rukun tersebut di dalam sembahyang sunat Tasbih hanyalah dikhususkan untuk bacaan yang asal sahaja.

Oleh itu, jika sekiranya terlupa membaca tasbih ketika rukuk, maka janganlah diganti bacaan tasbih yang tertinggal itu semasa i‘tidal, kerana tidak boleh memanjangkan bacaan padanya akan tetapi gantilah bacaan itu semasa sujud, kerana sujud adalah dikategorikan sebagai rukun yang panjang sebagaimana yang dikatakan oleh al-Baghawi.

Manakah Yang Lebih Afdhal, Washl Atau Fashl?

Washl ialah sembahyang sunat Tasbih dikerjakan secara bersambung iaitu empat rakaat dengan satu salam. Sementara fashl ialah sembahyang sunat Tasbih dikerjakan secara bercerai iaitu setiap dua rakaat sekali salam.

Ibnu Hajar mengatakan dalam kitabnya Fatawa Kubra al-Fiqhiyah, kedua cara tersebut ada diterangkan di dalam hadis. Oleh yang demikian, harus melakukan kedua cara tersebut, akan tetapi Imam Ghazali mengatakan dalam kitabnya Ihya ‘Ulumiddin, jika dikerjakan di waktu siang sambungkanlah empat rakaat dengan satu salam, dan jika dikerjakan di waktu malam ceraikanlah empat rakaat dengan dua salam, sepertimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila Baginda ditanya oleh seorang lelaki tentang bagaimana sembahyang malam itu, Baginda pun menjawab:

Maksudnya: “Sembahyang malam itu dua rakaat dua rakaat.”
(Hadis Imam Ahmad)

Haruskah Sembahyang Sunat Tasbih Dilakukan Secara Berjemaah?

Selain daripada sembahyang fardhu, ada juga sembahyang sunat yang disebut dalam kitab fiqh sebagai sembahyang at-tathawwu‘ dan an-nawafil.

Sembahyang-sembahyang an-nawafil itu menurut pengertiannya dari segi bahasa ialah tambahan, kerana ia merupakan tambahan ke atas sembahyang-sembahyang yang telah difardhukan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ia terbahagi kepada dua bahagian:

1.    Yang sunat dilakukan secara berjemaah, seperti sembahyang Hari Raya, sembahyang Gerhana Bulan dan Matahari, sembahyang Witir pada bulan Ramadhan.

2.    Yang tidak sunat dilakukan secara berjemaah, seperti sembahyang ar-rawatib yang mengiringi sembahyang-sembahyang fardhu, sembahyang Witir bukan di bulan Ramadan dan sembahyang Dhuha, sembahyang Tahajjud, sembahyang Tasbih.

Ketika mengulas tentang sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah, asy-Syeikh Muhammad al-Khathib asy-Syarbini dalam kitab beliau Mughni al-Muhtaj menjelaskan, adapun sebab ianya tidak disunatkan berjemaah kerana muwazhabah (kebiasaan) Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukannya secara bersendirian. Adapun sunatnya itu hendaklah tidak dilakukan secara berjemaah, tetapi tidak dihukumkan makruh, kerana Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma pernah mengikut Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang sunat Tahajjud di rumah emak saudaranya, Maimunah.

Imam Jalaluddin al-Mahalli dalam Syarh al-Minhaj berkata ketika menjelaskan bahagian sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah:

Ertinya: “Bahagian yang tidak disunatkan berjemaah itu, jika dilaksanakan secara berjemaah tidaklah makruh. Demikian menurut Imam an-Nawawi di dalam kitab ar-Raudhah.”

Asy-Syeikh Qalyubi di dalam Hasyiyatan ketika mengulas perkataan Imam Jalaluddin al-Mahalli “tidaklah makruh” di atas, katanya:

Ertinya: “Bahkan ia (bersembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah jika dilakukan secara berjemaah) menyalahi yang utama (khilaf al-awla) dan maksudnya, tidak disunatkan dilakukan berjemaah secara berterusan.”
Dengan penjelasan di atas, maka dapatlah dirumuskan bahawa sembahyang sunat Tasbih walaupun tidak disunatkan berjemaah, namun apabila ia dilakukan secara berjemaah tidaklah ia makruh, dan jauh sekali dianggap sebagai bid‘ah, hanyalah ia khilaf al-awla  yakni menyalahi yang utama sahaja.

Orang ramai boleh memilih melakukannya secara berjemaah ataupun bersendirian. Melakukannya secara berjemaah itu tetaplah mendapat pahala kerana berjemaah. Sebagaimana telah dinaqal oleh asy-Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani daripada Ali asy-Syabramallisi katanya:

Ertinya: “Dan diberi ganjaran pahala berjemaah secara mutlak, akan tetapi adalah awla (lebih utama) meninggalkannya yakni berjemaah itu.”

Penutup

Dari penjelasan yang di atas dapatlah difahami bahawa sembahyang sunat Tasbih mempunyai fadhilat yang tersendiri selain dapat mendekatkan diri kita kepada Allah Ta‘ala dengan bertasbih, tahmid, tahlil dan takbir, sembahyang sunat Tasbih juga dapat menghapuskan segala dosa.


Oleh yang demikian, janganlah kita abaikan, kerana sesiapa yang mengetahui akan fadhilat dan kelebihan sembahyang sunat Tasbih ini tetapi tidak mengerjakannya, maka orang itu tergolong di antara orang yang mencuaikan agama sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Taj as-Subki dan ulama-ulama yang lain. Dari itu, kerjakanlah sembahyang sunat Tasbih itu walaupun sekali seumur hidup.

Oleh: Arif Afifi

No comments:

Post a Comment