Ya, manusia itu sifatnya pelupa dan
alpa. Malah penuh dengan dosa. Namun, itu tidak bermakna yang kita tidak ada
peluang untuk menebus dosa-dosa kita itu. Tidak ada cita-cita atau impian yang
lebih besar daripada mendapat redha Allah dan seterusnya mendiami syurga Allah
yang hakiki di akhirat nanti.
Maka, segeralah bertaubat. Istighfar
dan memohon keampunan Allah. Allah kan Maha Pengampun, Maha Pemurah lagi Maha
Penyayang. Allah sangat suka apabila hamba-Nya sentiasa ingat dan memohon ampun
kepada-Nya.
Jangan sesekali putus asa dengan rahmat
Allah. Jika sudah bertaubat, namun kemudiannya kembali mengulangi dosa itu
kembali, teruskan taubat! Taubat, taubat dan taubat sehinggalah ajal menjemput
kita.
“Maka Aku
katakan kepada mereka, “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu. Sesungguhnya Dia Maha
Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan
memperbanyak harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untuknya kebun-kebun dan
mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.”Surah an-Nuh: ayat 10-12
Berbalik kepada soal solat taubat.
Secara mudah, cara solat taubat lebih kurang sama sahaja sepertimana solat
sunat yang lain. Solat taubat boleh dilakukan dua, empat atau enam rakaat pada
bila-bila masa yang dikehendaki.
Namun lebih baik sekiranya solat ini
dilakukan pada waktu tengah malam atau sepertiga malam ketika suasananya lebih
sunyi dan tenang.
Asas Solat Taubat
1. Menyesal di atas segala perbuatan
dosa yang dilakukan.
2. Menyucikan diri daripada perbuatan
dosa dan berhenti daripada melakukan maksiat serta meminta ampun di atas apa
yang telah dilakukan daripada Allah SWT, memohon maaf kepada manusia terhadap
dosa yang berkaitan dengan harta benda, maruah dan jiwa. Mengqadhakan segala
apa yang telah terluput seperti amalan-amalan sembahyang, puasa dan lain-lain
sekadar yang termampu.
3. Berazam tidak akan melakukan lagi
segala perbuatan tersebut serta menjauhkannya.
Cara Melaksanakan Solat Taubat
1. Niat solat taubat

“Sahaja aku mengerjakan solat sunat
taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”
2. Bacaan semasa solat
Pada rakaat pertama hendaklah membaca
surah al-Fatihah dan al-Kafirun. Manakala pada rakaat yang kedua pula hendaklah
membaca surah al-Fatihah dan al-Ikhlas.
3. Bertasbih
Semasa sujud terakhir pada rakaat kedua
iaitu selepas membaca tasbih biasa, bacalah Tasbih berikut sebanyak 40 kali:

“Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha
Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”
4. Beristighfar
Banyakkan beristighfar selepas memberi
salam.
1. Bacalah istighfar berikut sebanyak
10 atau 100 kali.

“Aku memohon keampunan Allah yang
Maha Besar, tiada Tuhan melainkan Allah, Dialah yang Maha Hidup, Maha berdiri sendiri
dan aku bertaubat kepadaNya.”
2. Istighfar Tauhid berikut sebanyak 10
atau 100 kali.

“Aku memohon ampun kepada Allah yang
Maha Agung yang tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus!
Aku bertaubat kepada-Nya selaku taubatnya seorang hamba yang banyak dosa yang
tiada menguasai akan dirinya dan tidak mampu membuat, menolak mudharat dan
manfaat serta tidak dapat menguasai kematian, hidup dan kebangkitan.”
3. Penghulu istighfar sebanyak 3 kali

“Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak
ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu
dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat
) kepada-Mu sekuat mampuku.
Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan
yang telah aku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau
berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku.
Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau. ”
5. Baca doa taubat
Bacalah doa yang biasa dibaca untuk
memohon keampunan dan taubat daripada Allah SWT. Berdoalah dengan penuh harapan
untuk mendapat keampunan daripada Allah.
Luahkan segalanya kepada Allah dengan
sebenar-benar taubat. Anggaplah seolah-olah sekejap lagi kita akan mati. Pasti
kita akan berdoa dengan penuh khusyuk dan bersungguh-sungguh.
Mudah sahaja kan untuk solat taubat?
Ambil masa dan muhasabah diri setiap hari. Saban hari, ada saja dosa yang kita
lakukan. Bersihkan kembali diri kita daripada dosa dengan membanyakkan
istighfar dan memohon keampunan kepada-Nya. Amalkan solat sunat taubat setiap
hari jika boleh.
Mari kita renungkan, Rasulullah s.a.w
yang bebas dosa itu pun beristighfar tidak kurang dari 70 kali setiap hari.
Jadi, sudah tentu kita manusia yang setiap detiknya sentiasa menambah koleksi
dosa seharusnya lebih banyak beristighfar dan memohon keampunan Allah
By: IDHAM AIMAN
No comments:
Post a Comment